Saturday, January 10, 2015

Bacaan Ringan "STRUKTUR MASYARAKAT FEODAL JEPANG - PART 2"

http://massandry.blogspot.com
Struktur Masyarakat Feodal
Maksud/Konsep: Feudalisme bermaksud satu bentuk kerajaan, iaitu kuasa politik dikuatkuasakan secara tempatan oleh individu persendirian dan bukan kerajaan pusat. Dalam sistem feudal, tanah menjadi elemen utama iaitu semua tanah milik raja dan golongan pembesar tidak mempunyai tanah. Sistem feudalisme di Jepun pada zaman Keshogunan Tokugawa (1603-1867) terdiri daripada beberapa kelas  dan berbentuk piramid. Struktur masyarakat di Jepun terdiri daripada golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah adalah Maharaja, Shogun, Daimyo dan Samurai. Manakala golongan diperintah pula terdiri daripada  petani (nomin), tukang-tukang mahir (artisan)  dan saudagar (chonin). Sistem ini dapat dilihat dengan jelas semasa pemerintahan Shogun Tokugawa. Golongan Pemerintah. 

1. Maharaja Jepun Dalam hierarki pemerintahan di Jepun Maharaja menduduki lapisan teratas. Konsep pemerintahan bermaharaja di Jepun tidak sama dengan sistem bermaharaja di China iaitu di Jepun tidak ada pengamalan konsep “mandat dari syurga”. Maharaja di Jepun dianggap sebagai ketua negara, namun bermula abad ke-12 kuasa pemerintahan dipegang oleh Shogun. Maharaja hanya dikenali sebagai simbol kerajaan atau sebagai boneka sahaja. Maharaja dianggap sebagai pemerintah keduniaan dan dan kerohanian. Maharaja juga dikatakan dari keturunan dewi matahari (amateresu). Shogun Tokogawa telah mula memerintah Jepun bermula tahun 1603. Semasa pemerintahan Shogun Tokugawa, Maharaja Jepun tidak mempunyai kuasa untuk mentadbir. Maharaja hanya dinggap sebagai simbol perpaduan rakyat. Kuasa pemerintahan sebenar terletak ditangan Shogun.  Maharaja Jepun telah ditempatkan jauh dari pusat pemerintahan Shogun di Edo. Maharaja tinggal di kawasan yang terpencil di Kyoto dan duduk di dalam istana yang dikelilingi oleh tembok dan golongan Kuge (pegawai istana). Kerajaan yang diperintah oleh Maharaja dikenali sebagai Kerajaan Mikado. Namun, kedudukan dan kekuasaan Maharaja Jepun mula mengalami perubahan apabila Maharaja Mutsihito menaiki takhta Jepun yang kemudian menggunakan gelaran Maharaja Meiji (bermaksud sinar menyinari). Kuasa Maharaja telah dikembalikan semula oleh pemerintah Shogun Tokogawa yang terakhir iaitu Yoshiinobu 

2. Shogun Tokogawa Kuasa pemerintahan sebenar di Jepun terletak ditangan Shogun, bukannya dipegang oleh Maharaja. Shogun menjalankan tugas atas nama maharaja melalui dasar pecah dan  perintah. Hal ini dilakukan supaya kuasa dan kedudukan Shogun  terjamin. Kerajaan yang diperintah oleh Shogun yang berpusat di Edo (kemudian ditukar kepada Tokyo pada tahun 1869) dikenali sebagai Kerajaan Bakufu (Kerajaan Ketenteraan). Shogun mempunyai autoriti pentadbiran tertinggi meliputi seluruh rakyat dan istana termasuk maharaja. Shogun sangat dihormati, ditakuti dan digeruni. Shogun menguasai hampir seluruh tanah di Jepun dan membentuk hampir 30% daripada keluaran hasil pertanian negara. Shogun telah membahagikan kawasan pemerintahan  berdasarkan golongan  bangsawan atau Daimyo  yang menyokong  dan menentangnya. Daimyo yang menyokong Shogun akan diberi tanah manakala bangsawan yang menentangnya ditempatkan di  kawasan yang akan dikawal oleh sekutu Tokugawa. 

3. Daimyo Daimyo merupakan golongan bangsawan yang mempunyai peranan penting dalam pentadbiran Tokugawa di Jepun. Mereka terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu Daimyo Fudai, Daimyo Shimpan dan Daimyo Tozama. Daimyo Fudai ialah ahli keluarga Shogun Tokugawa dan sekutu-sekutunya, dan mereka telah dikurniakan tanah  yang berhampiran kediaman Shogun di bahagian tengah dan utara Honshu. Mereka akan membantu Shogun menguasai pemerintahan di Jepun. Daimyo Fudai merupakan penyokong kuat Tokogawa yang berjumlah 120 orang. Mempunyai hak keistimewaan seperti boleh menjadi anggota dua Majlis Negara dan ditugaskan mengawasi daimyo Tozama. Daimyo Shimpan juga dikenali sebagai rumah-rumah bersaudara dan mereka terdiri  daripada pelbagai cabang keluarga Tokugawa. Keluarga Tokugawa yang utama dikenali sebagai “go-snake” atau “tiga rumah” kepunyaan anak Iesyu yang terletak di daerah Qwari, Kii dan Mito. Mereka diberi tanah tidak jauh daripada Shogun. Daimyo Tozama juga dikenali sebagai daimyo luar iaitu tuan-tuan tanah feudal yang terpaksa tunduk kepada Tokugawa  dan mereka sentiasa  memusuhi Shogun. Oleh itu Shogun telah melantik daimyo Fudai untuk sentiasa mengawasi tindak tanduk daimyo Tozama. Mereka telah ditempatkan jauh  daripada Shogun, dilarang memegang jawatan diperingkat pusat kerana dicurigai sebagai penentang.dan dilarang memasuki istana  untuk mengelak ancaman daripada mereka. Daimyo Tozama terdiri daripada puak suku-suku Barat seperti Satsuma, Chosu, Toza dan Hizen. 

4. Samurai Samurai pula merupakan kelas panglima yang mempunyai kedudukan istimewa dalam masyarakat Jepun. Mereka berfungsi sebagai penjaga keamanan negara dan menjaga kepentingan Daimyo dengan tidak berbelah bagi.   Mereka tidak dibenarkan melakukan kerja lain walaupun negara dalam keadaan aman. Oleh itu, ketika negara berkeadaan aman dan tiada peperangan maka kehidupan golongan Samurai akan ditanggung oleh golongan petani. Zaman aman peranan samurai berfungsi sebagai pentadbir ladang wilayah, menguruskan kewangan, mengawal dusun, pengawal dan utusan. Golongan samurai terbahagi kepada 3 kelas iaitu kelas teratas iaitu golongan yang mempunyai pertalian darah atau berkhidmat lama dengan daimyo dan bilangannya sangat kecil serta mempunyai tanah. Kelas sederhana iaitu taraf samurai penuh dan mempunyai bilangan sangat ramai. Manakala samurai kelas rendah pula sangat besar jumlahnya dan dijadikan sebagai tentera berjalan kaki. Mereka hanya boleh mengisi jawatan rendah dalam kerajaan dan ekonomi Golongan Diperintah 

5. Petani (nomin) Dalam golongan yang diperintah, golongan petani (nomin) menduduki tempat yang tertinggi berbanding dengan golongan diperintah lain. Hal ini kerana Jepun adalah sebuah negara pertanian yang tidak mengadakan perhubungan dengan negara luar berilutan pengamalan dasar tutup pintunya. Golongan petani merupakan pengeluar beras yang menjadi bahan makan rakyat  Jepun  serta membayar sebahagian besar cukai. Sebagai balasan mereka diberi upah hanya secukup makan sahaja kerana hasil keluaran beras dikhususkan untuk negara. Akibat pengamalan dasar tutup pintu ini menyebabkan rakyat hanya bergantung kepada beras yang dikeluarkan oleh petani sahaja. Golongan petani dikenakan sistem kerah iaitu mereka dikerah untuk mengangkut barang pertanian melalui sepanjang Jalan Tokaido dengan melalui beberapa tempat sekatan bagi membolehkan pegawai (pengitip takafu) menjalankan pemeriksaan ke atas petani yang melalui jalan tersebut. Sekiranya petani melalui jalan lain, petani akan dikenakan hukuman yang berat. Mengikut sistem kerah, setiap kampung akan menyediakan sebilangan lelaki dan kuda sebagai kenderaan rasmi dalam masa 3 bulan pada musim bunga dan 3 bulan pada musim buah. Kerja paksa ini adalah satu beban dan menyusahkan petani-petani malahan mereka sering tertekan dan dikenakan cukai yang berlebihan. Masyarakat petani juga mendapat pendidikan hal ini kerana bakufu dan tuan-tuan tanah amat mementingkan pendidikan. Tuan-tuan tanah telah menyediakan sekolah-sekolah kampung (terakoya) di kampung-kampung. Terdapat hampir 60 ribu terakoya telah didirikan untuk keperluan anak petani dan diberikan kemahiran-kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira. Apabila ekonomi wang berkembang maka golongan petani telah bertukar kepada kegiatan lain seperti membuat sutera, kertas, lilin, menekup dan lain-lain. Mereka juga merebut peluang untuk menjadi peruncit, peminjam wang, menenun dan membuka kilang kain. Biarpun sesetengah mereka mencapai kekayaan tetapi tidak mudah bagi mereka mendapat pengiktirafan sosial. 

6. Artisan (tukang-tukang mahir) Golongan artisan berada di bawah petani dan mereka mempunyai kemahiran dalam pembuatan pedang. Selain itu,  mereka juga terdiri daripada tukang kayu, tukang rumah, tukang besi, tukang tembaga, tukang timah, penenun, pembuat kertas dan lain-lain. Tukang-tukang yang mahir akan diberi gaji yang baik dan diberi rumah yang baik, seperti tukang kayu telah diberi gaji sebanyak 500 koku dan dibenarkan menggunakan pedang. Pendapatan golongan artisan lebih tinggi daripada petani walaupun status mereka lebih rendah dan agak sukar bagi mereka mengubah taraf sosial. Manakala petukang-petukang yang tidak mempunyai kemahiran khusus akan dilayan dengan buruk dan bekerja untuk daimyo. 

7. Pedagang (chonin) Kelas pedagang (chonin) terletak dibawah golongan petani dan artisan serta mereka dipandang rendah kerana pekerjaan mereka dianggap keji. Namun keadaan aman di Jepun telah menyebabkan ekonomi Jepun telah berkembang dan para pedagang telah berjaya mengumpul harta yang banyak. Pada tahun 1760, terdapat kira-kira 200 keluarga saudagar yang mempunyai harta dan kekayaan melebihi sebilangan besar daimyo. Mereka telah menguasai perniagaan tempatan yang komplek seperti jualan barang, gudangan, pengangkutan, broker beras, pertukaran wang dan pinjaman wang. Mereka juga menguruskan spekulasi pelbagai jenis perniagaan. Mereka sentiasa mengekalkan harga yang tinggi dan mengaut keuntungan yang besar. Mereka menjadi kaya raya walaupun status mereka kekal di bawah dalam sistem feudal. Mereka kemudian telah memperbaiki status diri mereka. Antara keluarga saudagar yang terkenal ialah Mitsui, Kamoike dan Sumitomo. Mereka ini telah memperkenalkan budaya pengurusan baru yang kemudiannya menjadi syarikat besar. Kesimpulan Pada abad ke-19 dan ke-20 memperlihatkan satu perkembangan menarik dalam sejarah sistem feudal di Jepun. Sejak sekian lama, negara Jepun telah melaksanakan dan menerima sistem feudal sebagai sebahagian daripada sistem sosial mereka. Di Jepun tidak berlaku moboliti sosial di mana status sosial mereka kekal sehingga pemodenan Meiji. Peranan pembesar mempunyai pengaruh yang sangat besar meskipun mereka meletakkan maharaja sebagai yang tertinggi. Walau bagaimanapun, kesan daripada perubahan-perubahan yang berlaku pada abad ke-19 dan ke-20 telah menyebabkan sistem feudal menerima tekanan yang cukup besar. Pengaruh Barat yang hadir di Jepun telah menyebabkan sistem feudal dianggap sebagai sistem yang tidak sesuai lagi. Selepas pemodenan Maharaja Meiji, negara Jepun mula berubah menjadi negara yang moden setanding dengan negara Barat dan ini telah menyelamatkan mereka daripada dijajah.  


Newer Post Older Post Home

Tokoh Islami "HABIB ABDURRAHMAN BIN ZEIN BIN ALI BIN AHMAD AL JUFRY"

http://massandry.blogspot.com Sayyidy al-Habib Abdurrohman bin Zein bin Ali bin Ahmad al-Jufri dilahirkan tahun 1938 di Semarang. Ayahand...

Blogger Template by Blogcrowds