Sunday, April 12, 2015

Tokoh Islami "IMAM BESAR - ABU ABDILLAH AHMAD BIN HANBAL BIN HILAL BIN ASAD ASY-SYIBAANIY - IMAM AHMAD (164H - 241H) - PART 4"

http://massandry.blogspot.com
Anak-anak murid Imam Ahmad Bin Hanbal…

Sesungguhnya anak-anak murid Imam Ahmad cerdik-cerdik belaka,mereka telah mempelajari mazhabnya seterusnya menyebarkanya ke seluruh ceruk negera-negara islam,dan diantara mereka ialah anak beliau sendiri iaitu Soleh, anak sulung Imam Ahmad yang telah bertanggungjawab menyebarkan mazhab bapanya sendiri,dan begitulah juga anak beliau yang lain seperti Abdullah yang telah bertanggungjawab mengumpulkan segala hadith-hadith sahih di dalam kitab bapanya “Al-Musnad” dan telah membahagikanya mengikut bab,dan dia juga telah mengedarkan kitab tersebut setelah menyempurnakanya.

Dan diantara ulama’- ulama’ Mazhab Hanbali yang bekerjasama mengembangkan mazhab ini adalah seperti :

(1) Abu Bakar Al-Atsram : Beliau ialah Abu Bakar Ahmad Bin Muhammad Bin Haani’ Al-Khurasaniy Al-Baghdadiy atau lebih dikenali dengan Al-Atsram.Beliau telah meninggal dunia pada tahun 273 hijrah dan beliau merupakan diantara faqih yang paling a’lim yang telah mengembangkan Mazhab Hanbali,beliau juga mempunyai hasil karangan beliau sendiri iaitu : “As-Sunanu Fil Fiqhi ‘Ala Mazhabi Ahmada Wa Syawahidihi Minal Hadith”         

(2) Abu Bakar Al-Khallal : Beliau ialah Abu Bakar Ahmad Bin Muhammad Al-Khallal,beliau meninggal dunia pada tahun 311 hijrah,beliau telah berguru Ilmu Feqh dengan beberapa orang Ashabul Imam Ahmad,beliau juga telah mengembara ke beberapa buah negara dan mengumpulkan segala pendapat-pendapat yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad,dan beliau ada mengarang sebuah kitab yang bertajuk : “Al-Jaamik Al-Kabir”

(3) Abu Al-Qasim Al-Khirqi : Beliau ialah Abul Qasim Umar Bin Abi Ali Al-Husin Al-Khirqi Al-Baghdadiy yang meninggal pada tahun 334 hijrah,beliau mempunyai banyak hasil karangan seperti kitab : “ Mukhtasaratul Masyhur Fil Feqh” iaitu suatu kitab yang sesuai untuk orang yang baru ingin mengenali mazhab ini,beliau lebih dikenali dengan “Al-Khirqi”  (kain perca) kerana beliau dahulunya merupakan penjual kain perca dan pakaian.

Begitulah juga tidak dilupakan Imam yang mulia iaitu Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyah rahimahullahu taala yang mempunyai betapa banyak hasil karanganya sendiri dan fatwa-fatwa beliau yang sangat masyhur dan juga beliau telah menyumbang jasa yang sangat besar di dalam mengembangkan mazhab bahkan telah memperbaharuinya.Beliau meninggal dunia pada tahun 728 hijrah.

Begitulah juga tidak dilupakan anak murid kepada imam yang mulia ini iaitu Al-Imam Al-Allamah As-Syeikh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah yang mengarang kitab “I’lamul Muwaqi’in” yang meninggal pada tahun 751 hijrah,dan juga tidak dilupakan jasa As-Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab yang meninggal pada tahun 1260 hijrah yang telah menjadikan Mazhab Hanbali sebagai suatu mazhab rasmi di Daulah Ibni Saud di Najd dan Hijaz,para pengikut mazhab ini telah berusaha dengan menyebarkan kitab-kitab besar mazhab ini kepada para fuqaha’ Mazhab Hanbali di Arab Saudi dan juga di Negara Arab Teluk,mereka telah mengedarkanya secara percuma kepada semua pelajar agama dan para ulama’ di negara tersebut.

Sebab kurangnya pengikut Imam Ahmad Bin Hanbal…

Diantara sebab kurangnya pengikut Imam Ahmad Bin Hanbal adalah disebabkan oleh faktor politik dan bukanlah disebabkan oleh faktor kekerasan dan paksaan kepada pengamalnya seperti yang menjadi sangkaan ramai orang,kerana Mazhab Hanbali adalah mazhab yang paling terbuka dan yang paling menyenangkan serta memberikan kemudahan kepada orang,tetapi mazhab ini telah terpalit oleh tuduhan tersebut kerana mazhab ini pada kurun yang keempat hijrah merupakan mazhab yang paling ramai pengaruhnya di Baghdad,lalu para pengamal mazhab ini pun terlalu fanatik denganya dan telah mengembangkanya dengan cara kekerasan dan paksaan,mereka juga telah menyeksa orang ramai jika mereka berpandangan bahawa perkara tersebut menyalahi hukum syarak,dan keadaan fanatik sedemikian telah menyebabkan para pengamal Mazhab Syafiey bangkit di Baghdad dengan memusuhi mereka dan berbalah sesama mereka,lalu keadaan ini telah menyebabkan ramai orang lari daripada bermazhab dengan mazhab ini,

oleh yang demikian,mazhab ini telah terpalit dengan tuduhan mazhab yang jumud,memaksa dan berpendapat dengan pendapat yang tiada toleransi kepada pengamalnya yang mana ianya berlarutan sehinggalah ke hari ini,dan masih juga ada sesetengah orang yang tidak langsung mengkaji mazhab ini menyangka bahawa Mazhab Hanbali ini merupakan mazhab yang jumud dan mazhab yang mengamalkan kekerasan…

Tetapi hakikatnya ialah mazhab ini merupakan mazhab yang sangat adil dan jauh daripada tuduhan jumud dan mengamalkan kekerasan kepada pengamalnya,contoh yang sangat jelas ialah seperti sifat toleransi agama islam kepada para penganutnya.

Dan diantara sebab yang lain pula ialah tiadanya pemerintahan yang berperanan untuk mengembangkan mazhab ini,sepertimana yang berlaku kepada beberapa mazhab-mazhab yang lain,dan perkara ini menyebabkan mazhab ini kurang pengikutnya berbanding mazhab-mazhab yang sudah diterangkan dahulu,tetapi hal tersebut terjadi sebelum mazhab ini dijadikan sebagai mazhab rasmi di Negara Arab Saudi,dan kekallah mazhab ini sebagai mazhab rasmi di negara tersebut serta negara-negara Teluk Arab yang lain.

Newer Post Older Post Home

Tokoh Islami "HABIB ABDURRAHMAN BIN ZEIN BIN ALI BIN AHMAD AL JUFRY"

http://massandry.blogspot.com Sayyidy al-Habib Abdurrohman bin Zein bin Ali bin Ahmad al-Jufri dilahirkan tahun 1938 di Semarang. Ayahand...

Blogger Template by Blogcrowds