Sunday, April 12, 2015

Tokoh Islami "IMAM BESAR - MALIK BIN ANAS BIN MALIK BIN `AMR, AL-IMAM, ABU `ABD ALLAH AL-HUMYARI AL-ASBAHI AL-MADANI - IMAM MALIKI (97H - 179H) - PART 4"

http://massandry.blogspot.com
Rujukan dan Penerangan
(1) Al-Madkhal Ila Al-Feqh Al-Islamiy oleh Fadhilatus Syeikh Dr.Mahmud Muhammad At-Thontawi
(2) Nikah Muta’h : juga dinamakan sebagai Nikah Al-Muaqqat (sementara) dan juga dinamakan sebagai Nikah Kontrak,iaitu suatu nikah yang mana si lelaki akan mengahwini seorang perempuan itu selama satu hari,seminggu atau sebulan sahaja,dan dinamakan Muta’h (menikmati) kerana si lelaki dapat menikmati kesedapan perkahwinan dengan perempuan tersebut di dalam jangka masa yang ditentukan,yang mana bukanlah ianya bertujuan untuk memenuhi tuntutan syarak di dalam perkahwinan,dan perkahwinan jenis ini telah disepakati oleh para ulama’ bahawa ianya berhukum haram,dan jika berlakunya perkahwinan ini,maka perkahwinan tersebut adalah batal hukumnya,dan para ulama’ berdalilkan di antaranya :

(2.1) Sesungguhnya perkahwinan ini tiada perkaitanya dengan ayat Al-Quran yang menerangkan tentang hukum-hakam perkahwinan menurut syarak,begitu juga pada bab thalaq,’iddah dan juga bab pewarisan harta tinggalan,maka ianya terbatal.

(2.2) Terdapatnya hadith nabi yang secara terang-terangan mengharamkanya : Dari Ibnu Majah : Sesungguhnya rasulullah sallallahu alaihi wassalam mengharamkan Al-Muta’h dengan berkata : Wahai manusia sekalian,sesungguhnya aku pernah mengizinkan kalian Al-Istimta’ (Al-Muta’h) dan sesungguhnya Allah telah mengharamkanya sehinggalah ke hari qiamat,dan dari Ali radiallahu anhu sesungguhnya baginda nabi telah melarang mengahwini perempuan secara Muta’h di hari Khaibar dan juga melarang (memakan) daging keldai kota (pada hari itu) (*)

Dan golongan Syiah Imamiah telah mengharuskan perkahwinan jenis ini.

(Kitab Feqh Sunnah karangan Syeikh Sayyid Sabiq)

(*)Secara sahihnya Muta’h diharamkan pada hari pembukaan Kota Mekah dan ianya telah termaktub di dalam Sahih Muslim,ianya telah menjadi khilaf di kalangan ahli ilmu.

(3) Kata-kata sahabat yang tidak boleh diijtihadkan : iaitu hadith Mauquf (**) secara lafaz tetapi berhukum Marfu’ (***) secara hukum,iaitu kata-kata yang dilafazkan oleh seseorang sahabat tetapi dianggap ianya dinisbahkan kepada baginda nabi,contohnya berkatanya sahabat tentang perkara-perkara lampau seperti permulaan kejadian alam,kisah umat-umat terdahulu,hal-hal ghaib,alam akhirat dan hal-hal yang akan datang atau ganjaran-ganjaran terhadap amalan tertentu yang mana ianya tidak boleh diijtihadkan atau ditakwil dari segi bahasa atau disyarahkan lafaz-lafaz asing di dalamnya,begitu juga pada perlakuan sahabat yang mana ianya tidak boleh diijtihadkan kerana ianya tidak diingkari oleh nabi ketika mereka melakukanya dan dianggap ianya diangkat kepada baginda nabi,begitu juga jika berkatanya sahabat : “kami dahulu pernah berkata begini” atau “kami dahulu pernah melakukanya”,atau berkatanya sahabat :  “Kami telah disuruh melakukanya,”kami telah dilarang dari melakukanya” dan begitu juga hadith yang diriwayatkan dari Tabi’en dari sahabat dengan lafaz “dan telah mengangkatnya”

(**) Hadith Mauquf : apa-apa yang dinisbahkan kepada sahabat dari sudut perkataan,perbuatan atau pengakuan atau sifat mereka,dan dinamakan Mauquf (yang dihentikan) kerana hadith tersebut terhenti kepada sahabat dan tidak berakhir kepada baginda nabi,dan dipanggil juga sebagai Al-Atsar sebagaimana yang dikatakan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar.

(***) Hadith Marfu’ : iaitu hadith yang dinisbahkan kepada baginda nabi dari sudut perkataan,perbuatan atau pengakuan atau sifat baginda nabi sallallahu alaihi wassalam.

(Mu’jam Al-Mustholahaat Al-Haditsiah oleh Dr.Muhammad Abu Al-Laitsul Khair Abadi)

(4) Masalihul Mursalah : iaitu suatu faedah atau kebaikkan yang mana tiadanya dalil daripada syarak yang menunjukkan ia boleh diterima atau tidak boleh diterima,yang mana ianya bertujuan untuk mendatangkan kebaikkan kepada kehidupan manusia dan menolak kemudharatan atau keburukkan di dalam kehidupan manusia.

Contohnya seperti perlakuan para sahabat yang mengumpul Al-Quran ke dalam satu mushaf,menempa duit syiling dan membiarkan tanaman yang diusahakan oleh penduduk sesebuah tempat yang ditawan kepada tuanya tetapi dikenakan cukai tanaman kepada tuan tanah tersebut,yang mana kesemua contoh maslahah ini dipanggil sebagai Maslahah Mutlaq kerana tiadanya dalil dari syarak yang memperakuinya tetapi ianya mendatangkan kebaikkan dan menolak keburukkan di dalam kehidupan manusia,manakala Maslahah Al-Mu’tabarah pula ialah kebaikkan-kebaikkan yang terdapatnya dalil dari nas-nas syarak secara terang dan jelas yang mana ianya memang sudah siap sedia mendatangkan kebaikkan dan menolak keburukkan di dalam kehidupan manusia contohnya hukuman hudud dan qisas.

(5) Sadduz Zaraie’ : ialah menghalang setiap perkara yang boleh membawa kepada melakukan perkara yang dilarang disebabkan ianya boleh membawa kepada kebinasaan dan kemudharatan.Maka setiap perkara yang boleh membawa kepada melakukan perkara yang haram adalah haram dan setiap perkara yang membawa kepada perkara yang diwajibkan maka ianya adalah wajib.

Jika melakukan perkara yang keji itu adalah haram,maka melihat kepada aurat perempuan ajnabiah itu adalah haram kerana boleh membawa kepada melakukan perkara yang keji,dan jika ibadat haji itu adalah suatu kefardhuan,maka pergi ke Baitullah Al-Haram dan tempat-tempat untuk melakukan fardhu haji adalah juga fardhu,kerana hukum syarak itu jika mewajibkan seseorang itu melakukanya,maka setiap perkara yang membawa kepada menyempurnakan kewajipan itu adalah wajib,dan jika ia melarang manusia melakukan sesuatu,maka setiap perkara yang boleh membawa kepada perkara yang dilarang itu adalah haram.

(6) Al-‘Urf : iaitu setiap kebiasaan atau adat yang dilakukan oleh sekumpulan manusia yang mana perkara tersebut sememangnya dikenali di kalangan mereka sudah menjadi kebiasaan mereka,begitu juga apa-apa percakapan yang diertikan kepada makna khas di kalangan mereka yang mana tidaklah percakapan tersebut dapat diertikan dari sudut bahasa formal yang mana ianya tidak akan disalah ertikan oleh pendengar apabila mendengar percakapan tersebut.

Ianya terbahagi kepada Al-‘Urf Amali (perbuatan) dan Al-‘Urf Qauli (percakapan),jikalau kita di dalam masyarakat melayu Al-‘Urf Amali adalah seperti berpantun-pantun sebelum meminang sebagai cara berlapik di dalam berkata-kata agar tidak menyatakan hasrat tersebut secara berterus terang,dan Al-‘Urf Qauli pula ialah seperti perkataan Ulama’ yang merujuk kepada orang yang berilmu agama yang mana ianya digunakan di dalam masyarakat kita samada kepada seorang atau kepada ramai yang mana perkataan ini merupakan pinjaman daripada bahasa arab,jika ianya dilihat dari sudut bahasa arab ianya digunakan hanya kepada orang yang ramai,begitu juga pada perkataan tuak yang merujuk kepada minuman kelapa wangi kepada penduduk di sebelah Pantai Timur manakala perkataan tuak bagi penduduk di sebelah Pantai Barat pula bermaksud arak.

Dan penerimaan adat-adat manusia ini jika dilihat dari segi penerimaanya di dalam hukum syarak ianya terbahagi kepada dua :

(6.1) Al-‘Urf As-Sahih : iaitu adat-adat kebiasaan manusia yang tidak menghalakan apa yang diharamkan dan tidak pula menghalalkan apa yang telah diharamkan.

(6.2) Al-‘Urf Al-Fasid : iaitu adat-adat kebiasaan manusia yang menghalalkan apa yang telah diharamkan dan mengharamkan pula apa yang telah dihalalkan,contohnya seperti adat sesuatu bangsa yang menjamu minuman yang memabukkan kepada tetamu yang hadir di dalam sesuatu majlis keraian,bercampurnya lelaki dan perempuan secara bebas di dalam sesuatu majlis,begitu juga membiarkan solat fardhu berlalu begitu sahaja di dalam sesuatu majlis,yang mana mereka menghalalkan apa yang diharamkan dan mengharamkan apa yang dihalalkan di atas nama adat manusia!!

Maka jelaslah disini yang Al-‘Urf As-Sahih sahaja yang boleh diterima di dalam hukum  syarak selagimana adat-adat tersebut tidak bertentangan dengan apa yang telah termaktub di dalam dalil-dalil hukum syarak,dan ianya diterima di dalam hukum syarak adalah kerana ianya bersesuaian dengan hajat keperluan manusia dan  bertujuan supaya menolak kesusahan di dalam kehidupan manusia disebabkan adat-adat kebiasaan mereka yang sudah sebati di dalam kehidupan mereka dan adat-adat tersebut tidak pula bercanggah dengan hukum syarak,tetapi jikalau sesuatu adat itu bahkan menyusahkan kehidupan manusia maka ianya tidak dianggap Al-‘Urf yang sahih,dan Al-‘Urf ini tidaklah ianya dianggap sebagai suatu dalil hukum syarak yang tetap,cuma ianya hanyalah untuk menjaga kemaslahatan manusia.

(7) Al-Istishab : iaitu suatu hukum yang ingin menetapkan sesuatu atau ingin menafikan sesuatu samada di waktu sekarang atau akan datang dengan melihatkan yang perkara yang ingin ditetapkan atau ingin dinafikan itu telah berlaku di waktu dahulu kerana tiadanya dalil yang datang untuk mengubahnya.

Jika kita menetapkan kewujudan sesuatu dan berasa ragu-ragu dengan ketidakwujudanya,maka kita perlu berhukum yang ianya wujud,kerana asalnya ia wujud,dan tiadanya dalil yang datang mengubah keadaan asalnya,jika kita ingin mengetahui hukum tentang haiwan atau tumbuhan tertentu,atau hukum tentang makanan,minuman dan pekerjaan tertentu,dan tiadanya dalil tentang hukum-hakam perkara-perkara tersebut,maka hukumlah dengan keharusanya,kerana hukum harus ialah hukum asalnya.Oleh itu,setiap perkara yang bermanfaat adalah harus selagimana tiadanya dalil yang menyatakan ianya haram dan begitu juga setiap pekara yang memudharatkan adalah haram selagimana tiadanya dalil yang menyatakan ianya harus.

(Penerangan bernombor (5),(6) dan (7) dari : Al-Wajiz Fi Usul Al-Feqh oleh Fadhilatus Syeikh Dr.Wahbah Az-Zuhaili)

(8) Hadith Ahad : iaitu hadith-hadith yang tidak mencukupi syarat-syarat hadith Al-Mutawatir,dan terbahaginya hadith ahad dari sudut jalan periwayatanya kepada 3 iaitu Hadith Masyhur,Hadith Aziz dan Hadith Gharib,(kalau mahu lebih lanjut lagi,rujuklah di dalam kitab-kitab Musthalah Hadith)

(9) Hadith Mursal : iaitu hadith yang terjatuh perawinya di akhir sanad selepas At-Tabi’e,seperti berkatnya seorang Tabi’e : “Berkatanya rasulullah begini” “Baginda nabi telah melakukan begini” atau “telah diperlakukan sebegini dihadapan baginda nabi”

Contoh : Diriwayatkan kepada kami Muhammad Bin Rafi’,dari Hujain,dari Al-Laits,dari ‘Uqail,dari Ibnu Syihab dari Said Bin Al-Musayyab : sesungguhnya Rasulullah sallallahu alaihi wassalam telah melarang dari Al-Mazabanah (contohnya menjual buah gred yang rendah dengan tukaran buah yang gred baik),dan Said Bin Musayyab ialah seorang tabi’e yang besar,dan hadith ini telah terjatuhnya perawi yang meriwayatkan di antara beliau dan nabi di akhir sanad.

Manakala hadith Mursal dikalangan para ulama’ feqh dan ulama’ Usul lebih bersifat umum,iaitu setiap hadith yang terputus sanadnya dianggap sebagai Hadith Mursal.

(Penerangan bernombor (8) dan (9) dari : Mabahits Fi Ulumil Hadith oleh Fadhilatus Syeikh Manna’ Bin Khalil Al-Qatthon)

(10) Kata-kata Ibnu Al-Qasim terhadap Abdullah Bin Wahab itu tadi bermaksud : Jikalau matinya Ibnu Uyaynah,maka aku akan bermusafir dan mengembara ke tempat Abdullah Bin Wahab semata-mata untuk menuntut ilmu darinya.

Dan penyataan “maka aku akan pukulkan hati unta” itu ialah suatu bentuk perumpamaan masyarakat arab yang bermaksud : bersungguh-sungguh untuk mengembara dan bermusafir untuk sesuatu tujuan,yang mana jikalau seseorang yang bermusafir dengan menaiki unta pastilah dia akan menghentak-hentakkan kakinya ke rusuk unta tersebut untuk mempercepatkan perjalananya.

Newer Post Older Post Home

Tokoh Islami "HABIB ABDURRAHMAN BIN ZEIN BIN ALI BIN AHMAD AL JUFRY"

http://massandry.blogspot.com Sayyidy al-Habib Abdurrohman bin Zein bin Ali bin Ahmad al-Jufri dilahirkan tahun 1938 di Semarang. Ayahand...

Blogger Template by Blogcrowds