Sunday, April 12, 2015

Tokoh Islami "IMAM BESAR - MALIK BIN ANAS BIN MALIK BIN `AMR, AL-IMAM, ABU `ABD ALLAH AL-HUMYARI AL-ASBAHI AL-MADANI - IMAM MALIKI (97H - 179H) - PART 1"

http://massandry.blogspot.com
Beliau ialah Imam Malik Bin Anas Bin Malik Bin Abi A’mir Al-Asbahiy yang dinisbahkan kepada Dzi Asbah,iaitu suatu kabilah bangsa arab di Yaman,salah seorang nenek moyangnya telah berhijrah dari Yaman ke Madinah dan menetap disitu,dan datuknya Abu Amir merupakan seorang sahabat nabi yang mulia yang telah menyertai hampir semua siri peperangan bersama baginda nabi kecuali peperangan Badar.

Imam Malik dilahirkan pada tahun 93 hijrah mengikut riwayat yang masyhur,dan ada juga yang mengatakan beliau dilahirkan pada 97 hijrah,beliau dilahirkan di Kota Madinah Al-Munawwarah,beliau telah hidup disitu,belajar disitu dan beliau tidak pernah keluar daripada Kota Madinah kecuali hanyalah ke Kota Mekah untuk menunaikan haji,kemudian beliau akan balik ke Madinah semula,menjadi pengajar,pembimbing dan penyampai hukum-hakam Allah Taala pada setiap masalah yang disoal manusia kepadanya,sehinggalah beliau telah pergi menemui Allah Taala pada tahun 179 hijrah,dan beliau tergolong daripada golongan Tabii’ Tabiien mengikut riwayat yang sahih.

Syeikh-syeikh beliau :
Imam Malik telah menceburi bidang ilmu semenjak beliau masih kecil lagi,dan beliau telah berguru dengan ramai ulama’ Kota Madinah,syeikh pertama yang beliau lazimi,bergaul denganya dalam jangka masa yang lama ialah Abdul Rahman Bin Hurmuz,beliau juga telah berguru dengan Nafi’ Bin Abi Nuaim,Hisyam Bin Urwah dan ramai lagi syeikh-syeikh lain yang terdiri daripada para perawi hadith baginda nabi dan Ahli Feqh,dan syeikh beliau dalam bidang feqh ialah Rabia’h Bin Abdur Rahman yang lebih dikenali sebagai Rabiatul Ra’yi.

Imam Malik telah mengajar Ilmu Hadith dan Ilmu Feqh dan mengeluarkan fatwa kepada penduduk Kota Madinah ketika beliau baru berumur 17 tahun,ianya selepas para syeikh beliau melihat bahawa beliau sudah mampu untuk berbuat demikian,dan telah diriwayatkan daripada beliau : ( Dan tidaklah aku boleh berfatwa dan mengajar hadith sehinggalah aku telah disaksikan oleh 70 orang syeikh daripada golongan ahli ilmu bahawa aku dibenarkan berbuat sedemikian…)

Dan Imam Malik dianggap sebagai Imam Ahli Hijaz,sepertimana Imam Abu Hanifah yang menjadi imam di Iraq,dan kedua-dua imam ini menjadi imam di madrasah feqh masing-masing di zaman mereka,iaitu Madrasah Madinah di Hijaz,dan Madrasah Kufah di Iraq..

Dan sesungguhnya Imam Malik mempunyai keutamaan yang besar dalam menyampaikan hadith nabi dan feqh islami,kerana beliau merupakan seorang penyampai hadith yang benar,dalam ilmu pengetahuanya,wara’ dan mempunyai kedudukan yang tinggi,disebabkan itulah betapa ramainya fuqaha’ dari berbagai ceruk dunia datang daripada jauh semata-mata ingin berguru dan mengambil ilmu daripada beliau,dan sesungguhnya betapa ramainya ulama’ dari berbagai negara islam telah meriwayatkan ilmu daripada beliau,antaranya dari Yaman,Syam,Iraq,Khurasan,Mesir,Maghribi (ehem ehem) dan juga dari Andalus,dan sesungguhnya para ulama’ telah bersepakat di atas kealimanya, kebaikkan perihal agamanya dan kewarakkanya dan kefahamanya yang jitu terhadap sunnah nabi yang mulia,dan beliau juga telah dipuji oleh kebanyakkan ulama’,dia antaranya ialah Imam As-Syafie’ yang berkata : « Malik ialah hujjatullah(bukti kekuasaan Allah ) di atas ciptaaNya » dan Ibnu Mehdi yang berkata : « Tidaklah aku pernah melihat seorang pun yang lebih sempurna aqalnya dan tersangat taqwanya kepada Allah daripada Malik » dan berkata : « Dan tiadalah di atas muka bumi ini yang lebih beriman kepada hadith rasulullah sallallahu alaihi wassalam daripada Malik »

Abu Ja’far Al-Mansur pernah menginginkan untuk menjadikan kitab Al-Muwattho’ Imam Malik sebagai rang undang-undang yang perlu diaplikasikan ke setiap negara islam,tetapi Imam Malik enggan beliau melakukan sedemikian dan telah berkata kepadanya : « Jangan lakukanya ! kerana para sahabat masih berselerakkan di berbagai tempat,dan mereka telah meriwayatkan hadith-hadith selain hadith-hadith dari Hijaz iaitu hadith-hadith yang menjadi sandaranku,dan manusia telah mengambil hadith-hadith tersebut (hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat) maka biarkanlah mereka di dalam keadaan mereka itu » maka beliau mengatakan kepada Imam Malik : « Semoga Allah mengurniakanmu kebaikkan wahai Abu Abdullah »

Sesungguhnya Khalifah Harun Ar-Rasyid ketikamana beliau pergi menunaikan haji,beliau ingin bertemu dengan Imam Malik,lalu beliau pun menghantar utusan menyatakan bahawa beliau ingin bertemu denganya,maka berkatanya Imam Malik kepada utusan tersebut : Katakanlah dikau kepada Amirul Mukminin itu : « sesungguhnya penuntut ilmu itu sepatutnya berusaha mendapatkanya,dan sesungguhnya ilmu itu tidak akan berusaha mendatangi sesiapa pun » lalu akurlah khalifah apabila mendengarkan perkataan Imam Malik itu,lalu beliau pun pergi kepada Imam Malik menziarahinya di rumahnya,lalu beliau pun mengarahkan manusia lain agar meninggalkan majlis tersebut,tetapi Imam Malik tidak bersetuju dengan perlakuan tersebut,lalu berkata : « Jika dihalangkan ilmu kepada orang awam,maka tiadalah beroleh kebaikkan kepada orang yang khusus »

Dan khalifah Harun Ar-Rasyid menginginkan agar Imam Malik datang ke rumah beliau agar mengajarkan dua orang anak beliau iaitu Al-Amin dan Al-Ma’mun kitab Al-Muwattho’,dan juga menginginkan agar kedua orang anaknya itu berguru dengan  Imam Malik,maka berkatanya Imam Malik kepada khalifah : « Semoga Allah memuliakanmu wahai Amirul Mukminin,sesungguhnya kalian akan mendapat ilmu itu,jika kalian memuliakan ilmu,maka ilmu akan dimuliakan,manakala jika kalian mencela ilmu itu,maka ilmu itu juga akan dicelakan,dan sesungguhnya ilmu itu didatangi dan tidaklah ilmu itu yang mendatangi » berkatanya khalifah : « Benarlah perkataanmu itu,pergilah kamu berdua wahai anakku ke masjid untuk mendengarkan pelajaran bersama manusia lain » lalu berkatanya Imam Malik : « dengan syarat hendaklah kedua mereka tidak diawasi dengan pengawal,dan hendaklah mereka berdua duduk disitu sehinggalah majlis habis »

Maka pergilah kedua anak khalifah itu ke majlis ilmu Imam malik dengan syarat tersebut.

Maka disini dapatlah kita lihat ketegasan Imam Malik dalam menyatakan kebenaran dan betapa kuatnya beliau dalam memuliakan ilmu itu sendiri,dan beliau tetap juga menyatakan pandanganya walaupun kemungkinan akan mendatangkan kemurkaan khalifah..

Dan disebabkan ketegasan beliau itu telah menyebabkan beliau mengharungi pancaroba sebagai seorang penyampai kebenaran,ketikamana beliau mengeluarkan fatwa yang tidak jatuhnya thalaq ke atas orang yang dipaksa,dan beliau telah berdalilkan hadith nabi yang mulia : « Tiadalah thalaq ke atas orang yang dipaksakan » dan fatwa ini tanpa syak lagi tidak disukai oleh para pemerintah Abbasiyyin kerana mereka telah memaksa rakyat jelata supaya mengiktiraf pemerintahan mereka,dan kerana fatwa tersebut bakal menggambarkan bahawa : jika sesiapa yang dipaksa supaya membai’ah mereka,maka orang yang dipaksa itu boleh sahaja tidak membai’ah mereka dan boleh membai’ah pemerintahan selain Abbasiyyiin kerana diqiyaskan kepada fatwa yang menyatakan tidak jatuhnya thalaq ke atas sesiapa yang dipaksa…atau dengan maksud lain : tidak adanya bai’ah ke atas sesiapa yang dipaksa..

Dan disebabkan peristiwa fatwa itu,Abu Ja’far Al-Mansur telah melarang Imam Malik daripada bercakap tentang hadith tersebut,kemudian beliau telah menghantar seorang utusan untuk menyoal Imam Malik tentang masalah tersebut,apabila Imam Malik disoal oleh utusan tersebut,dia telah menyatakan hadith tersebut di hadapan seluruh manusia yang hadir,lalu disebabkan itu,dia telah dipukul dengan cemeti oleh pemerintah Kota Madinah iaitu Ja’far bin Sulaiman,tanganya telah diikat dan diregangkan sehingga hampir terkehel bahunya.

Dikatakan juga Imam Malik telah mengeluarkan fatwa bahawa haramnya perkahwinan Muta’h (2) dan fatwa tersebut bertentangan dengan pendapat nenek moyang pemerintahan Abbasiyy.

Diriwayatkan juga apabila beliau disoal tentang orang yang menderhaka kepada pemerintahan khalifah adakah dia boleh dibunuh ? lalu beliau menjawab : jika mereka menderhaka terhadap pemerintahan seperti pemerintahan Umar Bin Abdul Aziz maka mereka boleh diperangi,lalu ditanya pula : jika ianya tidak seperti demikian ? beliau menjawab : biarkanlah mereka,kerana Allah Taala akan membalas kezaliman mereka itu dengan kezaliman,maka Allah yang akan membalas ke atas kedua mereka (kedua-dua keadaan tadi)

Maka disebabkan kesemua pendapat-pendapat berani beliau inilah yang menyebabkan beliau diuji di dalam perjalanan beliau di dalam menyampaikan kebenaran,hubungan beliau dengan pemerintah pada mulanya keruh,tetapi lama kelamaan menjadi semakin baik..