Tokoh Islami "IMAM BESAR - MUHAMMAD BIN IDRIS BIN AL-‘ABBAS BIN ‘UTHMAN BIN SHAFI’ BIN AL-SAIB BIN ‘UBAID BIN YAZID BIN HASHIM BIN ‘ABD AL-MUTTALIB BIN ’ABD MANAF BIN MA’N - IMAM SYAFII (150H - 204H) - PART 4"
http://massandry.blogspot.com
Rujukan dan Penerangan
(1) ‘Illah yang mundhobith : Sebelum diterangkan makna ‘illah yang mundhobith,adalah lebih baik diterangkan dahulu apakah maknanya Al-Qiyas itu dan apakah pula rukun-rukunya dan apakah pula yang dimaksudkan dengan ‘illah?? :
Bolehlah dimaknakan Al-Qiyas itu secara isthilahnya sebagai : Suatu proses mencari dan mengkaji hukum sesuatu perkara yang tidak dinyatakan langsung hukumnya dari syarak dengan bantuan dan jalan tengah daripada suatu perkara yang telah pun dinyatakan hukumya pada syarak,disebabkan kedua-dua perkara tersebut berkongsi suatu ‘illah (sebab) yang sama yang mana ‘illah tersebut menjadi pemangkin untuk mengetahui hukum perkara yang tidak dinyatakan hukumnya di dalam syarak itu tadi.
Dan rukun-rukun Al-Qiyas pula adalah :
(1) Al-Aslu : iaitu sesuatu perkara yang telah pun dinyatakan hukumnya di dalam syarak.
(2) Al-Far’u : iaitu sesuatu perkara yang tidak langsung dinyatakan hukumnya di dalam syarak.
(3) ‘Illah : iaitu suatu sebab atau sifat dari Al-Aslu yang menjadi pemangkin untuk mengetahui hukum perkara yang tidak dinyatakan hukumnya di dalam syarak (Al-.Far’u)
(4) Hukmul Asli : iaitu hukum yang sudah termaktub pada Al-Aslu yang diambil daripada Al-Quran dan As-Sunnah.
(5) An-Natijah : iaitu hasil hukum Al-Far’u yang didapati hasil daripada mencari ‘illah yang berkongsi dengan hukum Al-Aslu.
Sebagai contohnya adalah seperti berikut :
(1) Al-Aslu : Arak,telah pun Allah haramkan meminumnya pada peringkat terakhir pengharamanya pada ayat : “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras (arak),berjudi,(berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaithan,maka jauhilah (perkara-perkara) tersebut agar kamu beruntung” (Al-Maidah : 90)
(2) Al-Far’u : Air perahan buah-buahan yang ditapai yang mana ianya memabukkan ataupun yang dipanggil di dalam bahasa arab sebagai An-Nabiiz,sesungguhnya hukum An-Nabiiz ini tidak dinyatakan hukumnya secara jelas samada di dalam Al-Quran ataupun As-Sunnah.
(3) ‘Illah : Sebab apakah arak diharamkan?? kerana ianya memabukkan dan menyebabkan hilangnya kewarasan aqal normal,yang mana dengan sebab tersebut bakal mengakibatkan lebih banyak keburukkan-keburukkan yang mendatang kepada diri,agama,kehidupan dunia dan juga masyarakat seperti : memudharatkan kesihatan ataupun boleh membawa kematian,menyebabkan pergaduhan ataupun pembunuhan secara tidak disedari dan juga keburukkan yang lain.
(4) Hukmul Asli : Hukum meminum arak adalah haram berdasarkan ayat yang dinyatakan tadi,yang mana hukum tersebut diketahui berdasarkan arahan tegas dari Allah yang berkata : “Maka jauhilah…” ayat ini berbentuk arahan sekaligus juga berbentuk larangan daripada mendekati perkara-perkara keji tersebut,begitu juga Allah telah menyamakan perkara-perkara tersebut dengan perbuatan syaithan,maka dapatlah difahami dari ayat tersebut bahawa meminum arak adalah haram.
(5) An-Natijah : Hasil yang didapati ialah : meminum sebarang jenis air yang boleh menyebabkan mabuk dan hilangnya kewarasan aqal adalah haram dan arak pula hukumnya haram maka secara automatik An-Nabiiz dihukum sebagai haram,kerana kedua-duanya berkongsi ‘illah yang sama iaitu boleh menyebabkan mabuk dan hilangnya kewarasan aqal normal.
Diantara syarat sah Al-Qiyas adalah Al-Aslu dan Al-Far’u mempunyai suatu persamaan didalam ‘illah seperti contoh tadi,oleh itu ‘illah kedua-dua perkara tersebut mestilah bersifat tepat dan bertetapan yang mana ianya tidak menerima perubahan yang besar jika berlakunya perubahan individu atau pun keadaan tertentu,dan jika berlaku perubahan yang kecil pula,ianya tidak akan memberi kesan,dan inilah yang dipanggil sebagai : ‘illah yang mundhobith…manakala jika ianya menerima perubahan yang besar ianya dipanggil sebagai : ‘illah al-Mudhthorabah (yang tidak tetap atau boleh berubah-ubah)
Sebagai contoh,arak…memabukkan dan penyebab hilangnya kewarasan aqal adalah suatu ‘illah yang bersifat tetap kepada pengharaman meminumnya,dan diqiyaskan daripada ‘illah tersebut kepada semua jenis minuman yang memabukkan,maka ‘illah memabukkan dan penyebab hilangnya kewarasan aqal itu tidak pula terkesan kepada perbezaan minuman yang memabukkan banyak dan yang memabukkan sedikit kerana perubahan kedua-dua keadaan tadi adalah perubahan yang kecil.
Manakala ‘illah Al-Mudhthorabah pula ialah ‘illah yang menerima perubahan yang besar disebabkan perubahan individu dan keadaan tertentu,contohnya seperti kepayahan dan kesusahan tidak boleh dijadikan ‘illah untuk berbuka puasa di bulan Ramadhan kepada orang yang bermusafir dan orang yang sakit,kerana keadaan kedua-duanya yang berubah-ubah,kerana bagi sesetengah orang bermusafir adalah tidak menjadi kepayahan kepadanya mungkin kerana kekuatan badannya,dan sesetengah orang ada yang merasakan kepayahan di dalam musafir,tetapi ‘illah yang mundhobit bagi berbuka puasa di bulan Ramadhan adalah semata-mata sebab musafir dan sakit.
(2) Diantara syarat sah Al-Qiyas ialah,hendaklah Al-Far’u itu tidak didasari oleh sebarang dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah dan yang lain-lain,jika Al-Far’u itu telah pun didasari dengan dalil secara jelas dari Al-Quran dan As-Sunnah,maka ketika itu hukum dikembalikan kepada dalil yang menunjukkan hukum Al-Far’u tanpa melalui proses binaan Al-Qiyas,begitulah juga jika dalil yang mendasari hukum Al-Aslu pula telah merangkumi juga pada hukum Al-Far’u,maka ketika itu Al-Qiyas sudah dianggap tidak perlu.
Contohnya adalah seperti : berhukum bahawa An-Nabiiz itu haram berdasarkan daripada hadith nabi : (( Setiap yang memabukkan itu adalah haram )),jika dilihat dari hadith tersebut,ianya sudah pun menyatakan bahawa setiap yang membawa kepada mabuk adalah haram,dan An-Nabiiz itu boleh memabukkan,maka ianya haram berdasarkan hadith tersebut tanpa perlu melalui proses binaan Al-Qiyas.